Tuesday, December 28, 2010

Dirgahayu Bahasaku ( prosa tradisional )

Prosa Tradisional
( Hikayat Langlang Buana)

Sinopsis
Kisah bermula apabila Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi bersama-sama dayang inang pengasuhnya pergi ke taman untuk bersiram. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi tidak mengetahui bahawa semasa dia bersiram, dia telah diperhatikan oleh Raja Indera Bumaya yang bersembunyi di balik pokok kemunting. Raja Indera Bumaya telah bertukar menjadi seekor burung bayan yang cantik lalu hinggap di dahan pokok kemunting dan mengeluarkan bunyi yang sangat merdu. Bunyian tersebut telah menarik perhatian Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Tuan Puteri telah mengarahkan dayang untuk menangkap burung bayan tersebut tetapi tidak berjaya. Apabila kesemua dayang gagal menangkap burung bayan itu, dayang mencadangkan Tuan Puteri menangkap burung bayan itu sendiri. Tiba-tiba burung bayan terbang dan hinggap pada lengan Tuan Puteri. Tuan Puteri bertanya tentang asal-usul bayan. Bayan menceritakan dia berasal dari Negeri Lela Gambar dan mempunyai tuan yang bernama Raja Indera Bumaya. Bayan bercerita tentang kehebatan tuannya yang menyebabkan Tuan Puteri ingin sekali bertemu dengan tuannya itu. Bayan akhirnya menukarkan dirinya menjadi Raja Indera Bumaya dan akhirnya mereka saling berkasihan. Berita tentang adanya suara lelaki di istana Tuan Puteri telah menyebabkan ayahanda Tuan Puteri iaitu Raja Bahrum Dewa menjadi murka. Baginda telah mengarahkan 40 orang hulubalang dan rakyat untuk menangkap Raja Indera Bumaya. Perintah tersebut telah menyebabkan Tuan Puteri berasa sedih dan bimbang akan keselamatan Raja Indera Bumaya. Namun Raja Indera Bumaya berjaya menewaskan angkatan serangan Raja Bahrum Dewa dengan bantuan 4 orang hulubalang yang dijelmakan daripada batu geliga. Raja Bahrum Dewa sangat murka dengan kekalahan tersebut lalu mengarahkan pula seluruh rakyat menangkap Raja Indera Bumaya sekali lagi. Kali ini Raja Indera Bumaya dibantu oleh empat ribu jin. Pertempuran tersebut menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang dahsyat.

Tema
Percintaan anak raja
Raja Indera Bumaya sanggup menukarkan dirinya menjadi bayan semata-mata untuk menarik perhatian Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi tidak sanggup kehilangan Raja Indera Bumaya.

Persoalan
1. Persoalan Keberanian Menghadapi Cabaran. Raja Indera Bumaya Tidak Gentar Untuk Menentang Hulubalang Raja Bahrum .
2. Persoalan Kebijaksanaan Mencari Peluang. Raja Indera Bumaya Menjelmakan Diri Menjadi Seekor Burung Bayan Agar Dapat Menghampiri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.


WATAK PERWATAKAN
1. Raja Indera Bumaya
Anak raja dari Negeri Lela Gambar
Bijaksana. Raja Indera Bumaya menjelmakan dirinya sebagai burung bayan agar dia dapat memerhatikan gerak geri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
Berani. Raja Indera Bumaya berani duduk bersama-sama Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dalam istananya memadu kasih.
Mempunyai kuasa sakti (bertukar menjadi seekor burung bayan yang cantik) matanya daripada intan, bulunya daripada pusparagam dan kakinya daripada emas.
Gagah perkasa. Raja Indera Bumaya tidak dapat ditangkap oleh hulubalang yang mengepungnya .
Baik budi bahasa. Dia memuji-muji keelokkan paras rupa Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.

2. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
Puteri Raja Bahrum Dewa
Periang. Tuan puteri suka bergurau senda.
Seorang yang cantik. Raja Indera Bumaya terpesona dengan kecantikan Tuan Puteri ketika berbedak dan berlangir
Suka akan binatang. Tuan Puteri terlalu sukacita apabila mendapat burung Bayan
Sangat mencintai kekasihnya.. Tuan Puteri tidak sanggup hidup lagi jika Raja Indera Bumaya mati.

3. Raja Bahrum Dewa
Seorang raja yang tegas. Dia tidak suka lelaki luar berada bersama-sama puterinya.
Pemarah. Baginda mengarahkan hulubalang mengepung Raja Indera Bumaya yang memadu kasih dengan anakandanya sehingga mencetuskan kemarahannya.
Mengambil berat akan anakandanya. Baginda menganggap perbuatan Tuan Puteri Ratna Dewi yang memadu kasih dengan Raja Indera Bumaya sebagai celaka dan memalukan baginda.

Latar Masa
 -Waktu malam. Tuan Puteri bergurau senda dengan dayang-dayang inang pengasuhnya. Bayan dikeluarkan dari sangkar emas.
Waktu pagi . Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi berbedak dan berlangir
Latar Tempat
 -Kolam tempat Tuan Puteri mandi
Mahligai tempat didengar suara Tuan Puteri bersama suara laki-laki tertawa.
 -Luar kota. Raja-raja dan menteri hulubalang mengepung Raja Indera Bumaya.
Latar Masyarakat
-Masyarakat feudal. Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
Masyarakat saling mengasihi. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi amat mengasihi Raja Indera Bumaya dan begitulah sebaliknya.
Masyarakat yang tidak bertolak ansur. Raja Bahrum Dewa amat marah kepada Raja Indera Bumaya yang berkasih-kasihan dengan Puterinya.

Nilai
1. Nilai keberanian
Raja Indera Bumaya berani menghadapi serangan daripada Raja Bahrum Dewa.
2. Kasih sayang
Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi amat menyayangi Raja Indera Bumaya sehingga sanggup mati bersama-samanya.
3. Nilai bekerjasama
Rakyat bekerjasama dengan hulubalang menyerang Raja Indera Bumaya.
4. Nilai kebijaksanaan
Raja Indera menukarkan dirinya menjadi bayan untuk memikat hati tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
5. Nilai ketaatan
Jin-jin mematuhi arahan Raja Indera Bumaya berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa.

Pengajaran
1. Kita hendaklah berani menghadapi apa-apa rintangan..Raja Indera Bumaya sanggup melakukan apa sahaja demi mendekati Tuan Puteri .
2. Kita hendaklah mematuhi arahan ketua. Empat ribu jin telah berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa setelah diarahkan Raja Indera Bumaya.
3. Kita hendaklah menggunakan akal dengan bijaksana. Raja Indera Bumaya menjelma sebagai burung agar dapat memerhatikan gerak geri Tuan Puteri.


Prosa Tradisonal
(Hikayat Siak)

Sinopsis

Kisah bermula dengan pelayaran Tuan Bujang setelah mendapat perkenan daripada Sultan Palembang. Tuan Bujang dibekalkan oleh Sultan Palembang dengan pakaian keemasan dan keris kebesaran. Tuan Bujang sampai ke Rawas dan berkahwin dengan anak Dipati Batu Kuching. Tuan Bujang mendapat seorang anak lelaki dan dinamakan Raja Alang. Di Pagar Ruyung, Tuan Bujang telah ditabalkan sebagai Yamtuan Sakti. Tuan Bujang juga telah diuji bagi membuktikan bahawa baginda ialah daripada keturunan kesultanan Johor. Tuan Bujang telah diberi gelaran Yang Dipertuan Raja Kecik. Yang Dipertuan Raja Kecik telah pergi ke Siak namun tiada sesiapa yang mengenali baginda malah baginda terpaksa bekerja sebagai Nakhoda Penangguk . Kemudian baginda pergi ke Mengkalis dan di sana telah digelar oleh orang Minangkabau sebagai Yang Dipertuan. Baginda berhajat hendak menyerang negeri Johor. Pada masa yang sama, Raja Bugis iaitu Daheng Parani, Daheng Calak dan Raja Tuha telah datang ke Mengkalis. Mereka ingin membantu menyerang Johor. Daheng Parani telah membuat perjanjian sekiranya baginda berjaya menawan Johor, maka baginda akan menjadi Yang Dipertuan Besar dan Daheng Parani dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda. Sepucuk surat telah dihantar kepada Yang Dipertuan Johor memaklumkan bahawa paduka anakanda Marhum Mangkat Dijulang ingin menuntut bela atas kematian ayandanya. Berita kedatangan Yang Dipertuan Raja Kecik anakanda Marhum Mangkat Dijulang di negari Johor menjadi perbualan rakyat. Bagi membuktikan bahawa baginda ialah anakanda Marhum Mangkat Dijulang , rakyat Johor telah meminta supaya baginda menawarkan air masin menjadi air tawar. Dengan izin-Nya, maka air masin telah bertukar menjadi air tawar. Rakyat Johor terus bersorak dan menyebut Yang Dipertuan Raja Kecik sebagai Tuanku Yang Maha Mulia. Baginda juga bertitah kepada rakyat Johor agar menyembah dengan ucapan “daulat”. Baginda kemudian menyerang Johor. Yang Dipertuan Johor bersama anakanda baginda telah pulang ke kampung lama Bendahara. Sesampai Yang Dipertuan Raja Kecik ke dalam Kota Johor, baginda telah masuk ke istana. Baginda hairan kerana tidak ada Bendahara di dalam Istana. Baginda dimaklumkan bahawa Bendahara sudah melarikan diri. Yang Dipertuan Raja Kecik dimaklumkan bahawa bondanya Encik Apung telah meninggal dunia. Baginda berasa sugul dengan berita tersebut. Baginda telah bertunang dengan anak Bendahara yang bernama Tengku Tengah tetapi telah memutuskan pertunangan tersebut kerana terpikat dengan anak bongsu Bendahara iaitu Tengku Kamariah. Akhirnya baginda berkahwin dengan Tengku Kamariah dan ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.

Tema
Pengembaraan anak raja.
Yang Dipertuan Raja Kecik telah mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang sehinggalah baginda ditabalkan menjadi Sultan Johor.

Persoalan

1. Persoalan kesabaran akan membuahkan kejayaan.
2. Persoalan kebenaran tetap terbukti apabila tiba masanya.

WATAK DAN PERWATAKAN

1. Yang Dipertuan Raja Kecik.

- Keturunan Raja Johor
- Nama asalnya Tuan Bujang.
- Berkahwin dengan Tengku Kamariah
- Ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.
- Berani
   Contoh: Yang Dipertuan Raja Kecik berani memutuskan pertunangannya dengan Tengku Tengah.
- Gigih
  Contoh: Yang dipertuan Raja Kecik gigih mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang.

LATAR

Latar Masyarakat
 1. Golongan masyarakat feudal
Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
 2. Golongan masyarakat istana.
Contoh: Masyarakat yang tinggal di istana .

 Latar Masa
 1. Latar masa tidak dinyatakan dengan terperinci namun peristiwa berlaku pada zaman Kesultanan pemerintahan Raja Siak.


 Latar Tempat
 1. Rawas
Contoh: Tempat Tuan Bujang berkahwin dengan anak Dipati Batu Kuching.
 2. Siak
Contoh: Tempat Yang Dipertuan Raja Kecik tetapi tiada siapa mengenali baginda malah baginda terpaksa bekerja sebagai Nahkhoda Penangguk.
3. Johor
Contoh: Yang dipertuan Raja Kecik telah ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.

 Gaya bahasa
 1. Penggunaan bahasa Arab
Contoh:
Allah Ta’ala,
 2. Penggunaan bahasa istana
Contoh:
Patik, baginda,hulubalang, titah
 3. Penggunaan kata ganda
Contoh:
Kaya-kaya, besar-besar,masing-masing

 NILAI
 1. Nilai kegigihan
Contoh:
Yang dipertuan Raja Kecik gigih mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang.
 2. Nilai keberanian
Contoh:
Yang Dipertuan Raja Kecik berani memutuskan pertunangannya dengan Tengku Tengah.
 3. Nilai ketaatan
Contoh: Rakyat negeri Johor menunjukkan taat setia kepada Yang Dipertuan Raja
Kecik setelah mengetahuai baginda ialah keturunan raja.




PENGAJARAN
 1. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
 2.Kita janganlah cepat berputus asa sekiranya gagal dalam sesuatu hal.
 3. Kita hendaklah patuh akan perintah ketua.



Prosa Tradisional
(Dua Geliga Hikmat)

Sinopsis
Mengisahkan seorang anak raja bernama Inderaputera yang mengembara sehingga berjumpa dengan Tasik Semendera Jin yang amat besar. Pasir di sekeliling tasik daripada emas urai dan batunya daripada permata yang sangat indah. Inderaputera berasa amat takjub. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati sedangkan tiada manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksaksa di tasik itu namun Inderaputera tidak berasa gentar. Kemudian keluarlah raksaksa dari tasik. Inderaputera pura-pura tidur. Apabila raksaksa ingin menindih Inderaputera, Inderaputera bingkas bangun dan mencengkam rambut raksaksa. Raksaksa merayu agar Inderaputera melepaskannya dan sanggup memenuhi permintaan Inderaputera. Raksaksa telah memberikan batu geliga Mayan Bedi kepada Inderaputera. Batu geliga itu boleh digunakan untuk menghasilkan angin, ombak, kilat atau petir dengan cara menyeru nama raksasa itu.Inderaputera telah melepaskan rambut raksasa. Inderaputera menyatakan bahawa dia ingin pergi ke Berma Sakti. Raksaksa memberitahu di situ tempat seorang puteri yang cantik iaitu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran dan dayang-dayangnya datang bersiram. Raksaksa berpesan agar Inderaputera menyorokkan baju tuan puteri semasa tuan puteri mandi. Inderaputera melakukan perkara yang disuruh oleh raksaksa. Tuan puteri merayu agar Inderaputera memulangkan bajunya. Inderaputera meminta tuan puteri bersumpah sebelum dia memulangkan baju tersebut. Inderaputera meminta tuan puteri memberikan gemala hikmat yang ada di mahligai tuan puteri. Tuan puteri berjanji akan menyerahkannya dan meminta Inderaputera datang ke mahligainya. Istana tuan puteri dikawal rapi oleh seekor harimau, seekor badak, seekor naga, seekor geroda dan seekor raksaksa yang terlalu hebat. Inderaputera berjaya mengatasi semua halangan itu dan berjaya sampai ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Seperti yang dijanjikan, tuan puteri telah memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.

Tema
Pengembaraan seorang anak raja
Inderaputera sangggup menghadapi segala rintangan untuk sampai ke Berma Sakti bagi mendapatkan batu gemala hikmat.

Persoalan
1. Persoalan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu hasrat. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemal Nehran agar dia dapat bertemu dengan Tuan Puteri.
2. Persoalan keberanian menghadapi musuh. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rumbut peri tersebut.
3. Persoalan berpegang kepada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.

Watak dan Perwatakan
1. Inderaputera
- Ayahandanya Maharaja Bikrama Puspa·
 -Bondanya Puteri Jamjam Ratna Dewi·
 -Paras rupa yang menarik·
 -Bijaksana. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemal Nehran agar dia dapat  bertemu dengan Tuan Puteri.·
- Berani. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam·
tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rumbut peri tersebut.
- Berpegang pada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk·
memberikan geliga kepada Inderaputera.

2. Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran
- Ayahandanya Maharaja Syah Tokan·
- Tunangan Raja Mengerna Lela Dewa·
- Rupa paras yang amat cantik·
 -Berpegang pada janji. Tuan Puteri telah menyerahkan gemala hikmat kepada·
seperti yang dijanjikannya


Latar Tempat
-Tasik - tempat peri tinggal.
-Mahligai - tempat tinggal Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran
-Balai Rangga Puspa Berahi - Tempat yang disediakan oleh Tuan Puteri kepada Inderaputera untuk beradu

Latar Masa
-Waktu fajar - Tuan Puteri datang ke tepi tasik untuk kali ke tujuh
-Waktu malam - Tuan Puteri Seri Ratna Gembala Nehran mengenakan baju antakesuma dan pakaian yang sangat cantik
-Tengah malam - Inderaputera duduk bersembunyi di tepi tasik menunggu kedatangan Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran.

Latar masyarakat
1. Masyarakat feudal. Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
2. Masyarakat yang menepati janji. Peri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikannya jika Inderaputera melepaskannya.

Nilai
1. Nilai keberanian
Contoh:
 Indeputera berani menghadapi raksasa walaupun telah diberi amaran oleh mayat.·
2. Nilai kebijaksanaan
Contoh:
 Inderaputera berpura-pura tidur semasa raksasa keluar dari tasik dan mengambil peluang mencengkam rambut raksasa semasa raksasa ingin menindihnya.·
3. Nilai menepati janji
Contoh:
 Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menepati janji dengan memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.·


Pengajaran
1. Kita hendaklah berani dalam menghadapi situasi yang mencabar. Inderaputera tidak gentar menghadapi peri sehingga dapat menangkap peri tersebut.
2. Kita hendaklah menggunakan akal dalam apa-apa situasi. Inderaputera mencuri baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dapat bertemu Tuan Puteri.
3. Kita hendaklah berpegang pada janji. Tuan Peteri Seri Ratna Gemala Nehran telah mengembalikan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikannya.




Prosa Tradisional
(Hikayat Opu Daeng Menambun)

Sinopsis

Bab III
Kisah bermula dengan pelayaran Upu Deang dengan lima bersaudara. Pelayaran Upu Daeng disertai juga Sultan Muhammad Zainuddin. Baginda berkenan menjodohkan anakanda puteri baginda dengan Upu Daeng dan lima saudaranya. Daeng Perani menolak kerana telah berkahwin. Daeng Perani mencadangkan Upu Daeng Menambun berkahwin dengan Puteri Kesumba anakanda Sultan Muhammad Zainuddin. Upu Daeng Menambun bersetuju.

Bab IV
Upu Daeng Menambun berkahwin dengan Puteri Kesumba. Sultan Muhamad Zainudin bertitah kepada Upu Daeng dan lima bersaudara menyerang Panembahan Agung. Upu Daeng dan lima bersaudara sampai ke pengkalan negeri Matan. Berita kedatangan Upu Daeng sampai ke pengetahuan Panembahan Agung. Menantu Panembahan Agung, Daeng Mataku dan Tuan Hj Hafiz berjumpa Upu Daeng berlima. Mereka bersalaman dan bertanya khabar. Selepas itu mereka menghunus keris untuk bertikaman. Upu Deang Menambun berkata kepada Daeng Mataku dan Tuan Hj Hafiz bahawa mereka semua orang Bugis. Daeng Mataku dan Tuan Hj Hafiz berasa serba salah kerana arahan Panembahan Agung agar menghalang Upu Daeng berlima daripada masuk ke dalam kota sama ada secara lembut ataupun kekerasan. Tuan Hj Hafiz mencadangkan agar tidak ada pertumpahan darah. Upu Daeng berlima telah masuk ke kota dan menawan Panembahan Agung. Panembahan Agung telah dibawa mengadap Sultan Muhamad Zainudin oleh Upu Daeng berlima.

Bab V
Upu Daeng berlima telah berlayar ke Riau berjumpa dengan Sultan Raja Sulaiman. Baginda meminta pertolongan Upu Daeng berlima pergi menyerang Siak kerana Yang Amtuan Raja Kecil telah menculik saudara perempuannya dan dijadikan isteri. Upu Daeng berlima bersetuju dengan syarat apabila menjadi Yang Amtuan Besar, baginda harus melantik antara mereka berlima menjadi Yamtuan Muda. Maka berperanglah orang Siak dengan orang Bugis. Yang Amtuan Raja Kecil terpaksa berundur ke hulu negeri Siak. Sultan Raja Sulaiman mengucapkan terima kasih kepada Upu Daeng berlima kerana berjaya mengalahkan Yang Amtuan Raja Kecil. Seperti yang dijanjikan, Yang Amtuan Raja Sulaiman memilih Upu Daeng Merewah dilantik menjadi Yang Amtuan Muda di Riau. Upu Daeng Chelak dijodohkan dengan adinda Yang Amtuan Raja Sulaiman bernama Tengku Puan.

Bab VI
Raja Kedah telah berbalah dengan saudaranya berkaitan takhta lalu meminta pertolongan daripada Upu Daeng lima bersaudara. Upu Daeng lima bersaudara sanggup menolong Yam Amtuan Raja Kedah untuk mendapatkan takhtanya dan berjanji akan memberikan setiap seorang lima belas bahara sebagai balasan. Upu Daeng telah meminta agar pedagang yang ada di negeri Kedah terutamanya dari Bugis, Mangkasar dan Mandura di bawah perintahnya namun Raja Kedah berkata bahawa dia memerlukan masa untuk mengumpul orang tersebut untuk Upu Daeng. Upu Daeng berjaya mengumpulkan pedagang dari Timur untuk membantu Raja Kedah ditabalkan menjadi Yang Dipertuan Raja Kedah. Setelah tiga hari, rombongan Upu Daeng lima bersaudara bersetuju menabalkan Raja Kedah menjadi Yam Amtuan negeri Kedah. Namun begitu, ada saudara Raja Kedah yang tidak bersetuju dengan pelantikan baginda ingin menyerangnya dan peperangan berlarutan sehingga tiga hari tiga malam dan berterusan sehingga lapan hari yang akhirnya kemenangan berpihak kepada orang Bugis. Raja Kedah yang baru mengahwinkan Upu Daeng Perani dengan saudara perempuan dan membayar tiga bahara seperti yang dijanjikan kepada mereka.

Bab VII
Upu Daeng lima bersaudara telah dijemput oleh Raja Sambas dan ingin menjodohkan antara mereka dengan adik perempuannya yang bernama Urai Tengah seterusnya dilantik menjadi Pangeran Mangkubumi di Sambas. Upu Daeng Menambun menerima pelawaan tersebut lalu pergi ke Sambas bersama-sama Upu Daeng Kemasi. Kedatangan mereka berdua telah disambut oleh Sultan Adil dan anakandanya dan disediakan satu rumah dalam sebuah kampung. Setelah tiga hari, Sultan Adil menyuruh pangeran dan kiai bertujuh untuk berjumpa Upu Daeng Menambun dan Upu Daeng Kemasi bagi menyampaikan hajat untuk mengahwinkan salah seorang daripada mereka dengan adiknya Raden Tengah. Upu Daeng Menambun mencadangkan agar Upu Daeng Kemasi dikahwinkan dengan Raden Tengah dan sultan Adil bersetuju lalu mereka berkahwin. Upu Daeng Kemasi telah dilantik menjadi Pangeran Mangkubumi di dalam daerah negeri Sambas.

Bab VIII
Setelah sekian lama di negeri Sambas, Upu Daeng Menambun teringin untuk balik ke negeri Matan. Hal ini menggembirakan Sultan Muhamad Zainuddin lalu mengadakan sambutan yang hebat untuk menyambut ketibaannya. Setelah setahun, Sultan Muhamad Zainuddin mengumpulkan anak-anaknya serta saudaranya dan pangeran dan kiai untuk membincangkan hal berkaitan penggantinya. Pangeran dan Menteri penggawa meminta tangguh untuk memilih orang yang layak menjadi pengganti Sultan Muhammad Zainuddin. Seluruh penduduk Matan tidak bersepakat untuk memilih pengganti Sultan Muhammad. Sultan Muhammad Zainuddin akhirnya berkahwin dengan anak Raja Mempawah.

Bab IX
Khabar berita telah sampai ke Sultan Muhammad Zainuddin bahawa Duli Panembahan Sangkawak telah mangkat. Lalu anakanda Puteri Kesumba dilantik menjadi Ratu Agung Senuhun dan diraikan dengan besar-besarann di negeri Matan. Setelah acara keraian selama tujuh hari tujuh malam, rombongan diraja berangkat balik ke Kuala Mempawah bersama-sama hamba perempuan dan pengirng raja perempuan. Mereka kemudiannya sampai ke Sebukit lalu membuka negeri di situ. Setelah selesai segala urusan membuka negeri, mereka berangkat ke makam Marhum Panembahan Sangkawak.

Tema
-Kepahlawanan
Kepahlawan Upu Daeng lima bersaudara dalam menakluki dan menawan negeri-negeri Melayu dan akhirnya menjadi raja di negeri-negeri Melayu.

Persoalan
1. Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan
2. Persoalan menunaikan janji yang telah dibuat.
3. Persoalan perebutan takhta kerajaan membawa kepada pertelingkahan.

Watak dan Perwatakan

1. Upu Daeng Menambun
- anak raja·
- mempunyai 4 saudara yang lain iaitu Daeng Parani, Daeng Kemasi,Daeng Merewah dan Daeng Celak.
- berkahwin dengan Puteri Kesumba dari Riau·
- dilantik menjadi raja di Mempawah·

2. Daeng Perani
- saudara yang tertua antara lima bersaudara·
 -beristerikan anak Nakhoda Alang dari Siantan·
 -mempunyai dua orang anak iaitu Daeng Kemboja dan Daeng Khatijah·

3. Daeng Kemasi
- beristerikan anak Raja Mempawah·
 -dilantik menjadi raja di Sambas·

4. Daeng Chelak
 -dilantik menjadi raja di Riau·
 -berkahwin dengan Tengku Puan, adinda Sultan Raja Sulaiman·
5. Daeng Merewah
- menjadi Yang Amtuan Muda di Riau·
- berkahwin dengan Ungku Encik Ayu, anakanda Ungku Datuk Temenggung·

Latar Masyarakat
1. Masyarakat feudal
Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja .
2. Masyarakat Istana
Contoh : Masyarakat yang tinggal di istana seperti raja.

 Latar Tempat
1. Riau
Contoh: Upu Daeng Menambun lima bersaudara membantu Sultan Raja Sulaiman menyerang Siak.
2. Siak
Contoh: Peperangan antara Upu Daeng berlima dengan orang Siak.
3. Negeri Matan
Contoh : Tempat Puteri Kesumba diraikan dengan besar-besaran setelah dilantik menjadi Ratu Agung Senuhun.

Latar Masa
1. Tujuh hari tujuh malam
Contoh: Meraikan Puteri Kesumba yang dilantik menjadi Ratu Agung Senuhun.
2. Hari Jumaat
Contoh: Rombongan Ratu Agung Senuhun mula belayar.

Gaya Bahasa
1. Bahasa istana
Contoh: sultan, ayahanda, patih,paduka.dayang-dayang
2. Bahasa pinjaman bahasa Arab
Contoh: warith, Allah Subhanahu Wa Ta’ala, tulisan jawi, Rahmatullah Ta’ala
3. Kata ganda
Contoh: berkasih-kasihan, dibagi-bagi, betul-betul

Nilai
1. Nilai keberanian
Contoh:Upu Daeng berlima berani menentang musuh.
2. Nilai tolong-menolong
Contoh: Upu Daeng berlima menolong Raja Sulaiman menentang orang Siak.
3. Nilai menepati janji
Contoh: Raja Kedah memberikan wang sebanyak 3 gahara seperti yang dijanjikan kepada Upu Daeng berlima kerana membantunya mendapatkan takhta.
4. Nilaii bekerjasama
Contoh: Upu Daeng lima berkerjasama dalam menyelesaikan sesuatau masalah.

Pengajaran
1. Kita hendaklah berani menghadapi musuh . Upu Daeng berlima berani menentang musuh.
2. Kita hendaklah bermusyawarah dalam membuat keputusan. Ratu Sultan bermesyuarat dengan menantunya orang Bugis yang bernama Upu Daeng Menambun.
3. Kita hendaklah membantu orang lain yang memerlukan. Upu Daeng berlima menolong Raja Sulaiman menentang orang Siak.
4. Kita hendaklah menepati janji.Raja Kedah memberikan wang sebanyak tiga gahara seperti yang dijanjikan kepada Upu daeng berlima kerana membantu mendapatkan taktha.

No comments:

Post a Comment